Malayan Union
Malayan Union yang ditubuhkan pada 1 April 1946 di King's
House (Carcosa Seri Negara) selepas Perang Dunia II merupakan sebuah gabungan
Negeri-Negeri Melayu dengan Negeri-Negeri Selat (tanpa Singapura) untuk menjadi
pengganti British Malaya. Rasional untuk pembentukan Malayan Union. Seawal
1942, kerajaan British telah menubuhkan "Unit Perancangan Tanah
Melayu" di United Kingdom untuk menyediakan pembinaan semula Tanah Melayu
selepas Perang Dunia II tamat. Unit perancangan tersebut dinamakan sebagai
Malayan Planning Unit (MPU) dan Diketuai oleh Mejar-General Ralph Hone. Hone
diberi tugas untuk merangka satu bentuk pentadbiran baru untuk Tanah Melayu
selepas perang tamat. Akhirnya selepas semua perbincangan berlaku maka cadangan
untuk mencadangkan penggabungan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri
Melayu Tak Bersekutu, Pulau Pinang, dan Melaka menjadi Malayan Uniondiusulkan,
sedangkan Singapura dikekalkan sebagai tanah jajahan yang berasingan.
Rancangan Malayan Union mengekalkan Singapura sebagai suatu
tanah jajahan yang berasingan disebabkan ketakutan bahawa penentangan orang
Melayu terhadap penyertaan Singapura akan menjejaskan penerimaan rancangan
tersebut. Terdapat kesangsian tradisional di kalangan peniaga-peniaga Tanah
Melayu bahawa sektor perniagaan Singapura akan menjejaskan kepentingan mereka.
Selain itu, pihak British juga takut bahawa pemasukan dasar kewarganegaraan
yang liberal akan mengakibatkan ketakutan pemimpin-pemimpin Melayu disebabkan
bilangan orang Cina Singapura yang besar. Bagaimanapun, kerajaan British juga
hendak menjadikan Singapura sebagai sebuah pangkalan tentera laut untuk operasi
strateginya di Timur Jauh. Namun begitu tujuan utama British mengecualikan
penyertaan Singapura kedalam Malayan Union adalah disebabkan oleh kepentingan
ekonominya di Singapura, kedudukan strategik Singapura sebagai pelabuhan utama
dan pelbagai lagi faktor yang berteraskan kepada kegiatan ekonomi mendorong
pihak British untuk mengekalkan Singapura sebagai kononnya Tanah jajahan
London.
Kebanyakan buku-buku Inggeris menyatakan salah satu daripada
sebab utama untuk pembentukan 'Malayan Union' ialah hasrat kerajaan British
untuk menyediakan Tanah Melayu terhadap kemerdekaan. Ia dilihat sebagai satu
kewajaran kerana pihak British telah pun menandatangani Piagam Atlantik pada 14
Ogos 1941 yang mengisytiharkan bahawa semua negara-negara dunia berhak untuk
menentukan dan memerintah negara sendiri dalam erti kata lain 'Merdeka', Maka,
pihak Britain terikat untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu.
Bagaimanapun, banyak pihak di Tanah Melayu ketika itu mempercayai bahawa
rancangan itu hanya menukarkan taraf negeri-negeri Melayu daripada sebuah
negeri naungan menjadi sebuah tanah jajahan British. Di mana ia dilihat sebagai
satu usaha untuk memanjangkan lagi tempoh penjajahan British di Tanah Melayu
dengan cara berpura-pura berusaha untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah
Melayu, sedangkan kuasa pemerintah Tanah Melayu ketika itu, iaitu Sultan-sultan
telah pun dilucutkan melalui pembentukan Malayan Union.
Kenapa Melayu Menentang
Bertentangan dengan jangkaan British, penduduk Melayu, yang
biasanya bersikap lemah lembut dan sering boleh di arah untuk melakukan itu dan
ini telah bangun bersama-sama untuk membantah skim yang baru itu. Komuniti Cina
dan India juga tidak ghairah dan telah mengkritik sesetengah peruntukan yang
terdapat di dalam kertas putih Malayan Union. Pemimpin-pemimpin Melayu dan
pesara-pesara British daripada Perkhidmatan Awam di Tanah Melayu telah
mengetuai bidasan terhadap rancangan Malayan Union, dan membidas MacMichael
kerana menggunakan 'ugutan' untuk memperolehi persetujuan daripada
sultan-sultan Melayu. Pegawai-pegawai ini bertindak meLobi Tanah Melayu di
Parlimen antara bekas pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Tanah Melayu yang
mengambil bahagian adalah Frank Swettenham. Mereka turut menulis surat-surat
kepada akhbar nasional dan untuk merayu kepada Perdana Menteri United Kingdom
agar menghentikan usaha menukar status Tanah Melayu daripada negeri naungan
kepada tanah jajahan. Kegiatan seumpama ini mewujudkan tanggapan bahawa
terdapat tentangan yang hebat terhadap Malayan Union bukan sahaja daripada
penduduk Tanah Melayu malahan daripada pegawai dalaman British sendiri.
Sultan-sultan Tanah Melayu juga telah terpengaruh oleh
perasaan anti Malayan Union yang dianjurkan oleh pegawai-pegawai Melayu dan
rakyat Melayu. ini mengheret baginda sultan untuk membantah secara terbuka
terhadap cara yang digunakan oleh MacMichael untuk memperoleh tandatangan
baginda-baginda untuk perjanjian baru itu. Sultan-sultan tersebut menolak
rancangan Malayan Union dan cadangan untuk menghantar sutu perwakilan ke London
untuk memansuhkan rancangan itu telah disuarakan. Bagaimanapun, sudut pandangan
orang Melayu disampaikan dengan lebih berkesan selepas penubuhan UMNO atau
PEKEMBAR yang telah muncul untuk menyuarakan bantahan Melayu terhadap Malayan
Union.
Pihak British sangat terperanjat dengan perubahan sikap
masyarakat Melayu. Selepas pendudukan Jepun orang-orang Melayu telah sedar
bahawa pihak British tidaklah sekuat yang di sangka, ditambah pula oleh
semangat untuk merdeka yang bertiup kencang dari tanah seberang (Indonesia). Di
atas kesedaran inilah Orang-orang Melayu telah bangun bersama-sama untuk menentang
cadangan pihak British. Tindakan yang kemas telah dilancarkan melalui UMNO.
Negeri-negeri Melayu yang selama ini terpisah dan tidak bersatu telah bangun
bersama-sama, malahan sultan-sultan negeri-negeri Melayu juga turut
bersama-sama bergabung dengan rakyat Melayu untuk menentang Malayan Union. Satu
perkara yang tidak pernah terjadi di Tanah Melayu sebelumnya.
Perjuangan orang-orang Melayu tidak terhenti setakat itu
sahaja, orang Melayu turut mengadakan ceramah-ceramah umum di seluruh
semenanjung untuk menyedarkan masyarakat Melayu di kampung-kampung. Selepas
menerima tekanan yang begitu kuat, pihak British yang masih ingin meneruskan
Malayan Union mencadangkan satu jawatankuasa dihantar untuk melihat reaksi
masyarakat Melayu. Ahli jawatankuasa tersebut telah terkejut melihat reaksi
yang amat kuat dari orang melayu untuk menghentikan Malayan Union. di mana sahaja
mereka pergi pasti disambut dengan ribuan umat melayu dengan slogan-slogan anti
Malayan Union. Malahan mereka dan Gabenor Malayan Union ketika itu turut
bersimpati dengan orang-orang Melayu. Pada akhir lawatan tersebut, ahli
jawatankuasa terbabit telah mengambarkan sesuatu yang positif di dalam ucapan
mereka. Ramai orang melayu dan UMNO sendiri yakin bahawa Malayan Union akan
berkubur.
Kontrak sosial
Kontrak sosial di Malaysia merujuk kepada perjanjian oleh
bapa-bapa kemerdekaan negara dalam Perlembagaan, dan merupakan penggantian
beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkenaan dengan
pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu, dan Perkara
153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera.
Istilah ini juga kadang-kala digunakan untuk merujuk kepada bahagian-bahagian
lain dalam Perlembagaan, seperti Perkara yang mengatakan bahawa Malaysia adalah
sebuah negara sekular.
Dalam konteks biasa yang berkaitan dengan hubungan ras,
kontrak sosial telah kerap kali dibidaskan, termasuk juga oleh ahli-ahli
politik dalam kerajaan campuran Barisan Nasional yang menegaskan bahawa tidak
habis-habis bercakap tentang hutang orang-orang bukan Melayu kepada orang-orang
Melayu terhadap kewarganegaraan yang diberikan telah merenggangkan
golongan-golongan bukan Melayu daripada negara mereka. Kritikan-kritikan
seumpama ini telah ditentang oleh media Melayu dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu (UMNO), parti politik yang terbesar dalam Barisan Nasional. Kebanyakkan
orang Melayu, majoritinya daripada UMNO, telah mempergunakan kontrak sosial ini
untuk mempertahankan prinsip Ketuanan Melayu.
Syarat-syarat kontrak sosial
Perlembagaan Malaysia tidak merujuk kepada sebuah
"kontrak sosial" (dari segi hak kewarganegaraan dan hak istimewa)
secara ketara, dan tidak terdapat sebarang undang-undang atau dokumen yang
pernah menjelaskan syarat-syarat kontrak sosial secara penuh.
Pembela-pembelanya sering merujuk kepada Perlembagaan sebagai mengemukakan
kontrak sosial, dan bapa-bapa kemerdekaaan juga bersetuju dengannya, walaupun
rujukan kepada kontrak sosial tidak dibuat dalam Perlembagaan. Sebaliknya,
kontrak sosial biasanya dianggap sebagai suatu persetujuan yang memberikan
kewarganegaraan kepada orang-orang bukan Melayu dan bukan orang asli
(kebanyakannya orang Malaysia Cina dan Malaysia India) sebagai ganti untuk
pemberian hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu dan orang-orang asli
(dirujuk secara kolektif sebagai Bumiputera). Sebuah buku teks kajian Malaysia
pendidikan tinggi yang menepati sukatan pelajaran kerajaan mengatakan:
"Oleh sebab pemimpin-pemimpin Melayu bersetuju untuk melonggarkan
syarat-syarat kewarganegaraan, pemimpin-pemimpin komuniti Cina dan India telah
menerima kedudukan istimewa Melayu sebagai penduduk asli Malaya. Dengan
penubuhan Malaysia, status kedudukan istimewa itu diperluas untuk merangkumi
komuniti-komuniti penduduk asli Sabah dan Sarawak."
Perlembagaan secara ketara memberikan tanah rizab
Bumiputera, kuota dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, kuota
untuk lesen perniagaan, dan kebenaran untuk memonopoli industri-industri yang
tertentu, jika kerajaan membenarkan. Bagaimanapun pada hakikatnya, khususunya
selepas pengenalan Dasar Ekonomi Baru Malaysia (NEP), akibat rusuhan kaum pada
13 Mei 1969 ketika kaum Melayu hanya memiliki 4% daripada ekonomi Malaysia, hak-hak
istimewa Bumiputera diperluas kepada bidang-bidang yang lain; kuota-kuota
ditentukan untuk ekuiti Bumiputera dalam perbadanan awam, dan diskaun-diskaun
sebanyak 5% hingga 15% untuk membeli kereta dan harta tanah diberikan.
Setengah-setengah orang mengatakan bahawa kecondongan
terhadap orang-orang Melayu dalam pendidikan dan politik sebahagiannya
merupakan tindak balas terhadap keupayaan orang-orang Malaysia Cina untuk
memperoleh kebanyakan kekayaan negara itu. Bagaimanapaun, orang-orang Malaysia India
boleh mengemukakan hujah bahawa merekalah yang mengalami kerugian yang paling
banyak, walaupun ini boleh dipertikaikan.
Kerajaan ada mengundurkan sistem kuota untuk kemasukan ke
universiti-universiti awam pada 2003 dan memperkenalkan dasar "meritokrasi".
Bagaimanapun, sistem baru ini dikritik secara meluas oleh orang-orang bukan
Bumiputera kerana hanya memanfaatkan kaum Bumiputera yang ditempatkan dalam
rancangan matrikulasi yang menonjolkan kerja kursus yang agak mudah sedangkan
orang-orang bukan Bumiputera terpaksa mengambil Sijil Tinggi Persekolahan
Malaysia (STPM). Walaupun secara teori, orang-orang bukan Bumiputra boleh masuk
aliran matrikulasi, ini jarang berlaku pada hakikatnya. Meritokrasi juga
dikritik oleh sebilangan pihak dalam UMNO sebagai berdiskriminasi kerana ia
mengakibatkan orang-orang Melayu luar bandar terkebelakang dalam kadar
kemasukan universiti.
Suruhanjaya Reid yang menyediakan kerangka Perlembagaan
menyatakan dalam laporannya bahawa Perkara 153, tulang belakang kontrak sosial,
adalah bersifat sementara, dan menyesyorkan bahawa ia dikaji semula 15 tahun
selepas kemerdekaan. Suruhanjaya juga menyatakan bahawa perkara itu dan
peruntukan-peruntukannya hanya diperlukan untuk mengelakkan keadaan tiba-tiba
yang tidak menguntungkan kepada orang-orang Melayu dalam persaingan dengan
ahli-ahli masyarakat Malaysia yang lain, dan hak-hak istimewa yang diberikan
kepada orang-orang Melayu oleh perkara itu harus dikurangkan secara
beransur-ansur dan akhirnya dihapuskan. Bagaimanapun, disebabkan Peristiwa 13
Mei yang menyebabkan pengisytiharan darurat, tahun 1972 yang merupakan tahun
kajian semula Perkara 153 berlangsung tanpa sebarang peristiwa.
Menurut penyokong-penyokong kontrak sosial, sebagai balasan
untuk enakmen peruntukan-peruntukan yang pada asalnya bersifat sementara,
orang-orang Malaysia bukan Melayu diberikan kewarganegaraan di bawah Bab I
Bahagian III dalam Perlembagaan. Perlu diingatkan bahawa hak-hak istimewa
orang-orang bukan Bumiputera juga telah diberikan apabila negara mendapat kemerdekaan,
antaranya penubuhan sekolah-sekolah vernakular seperti sekolah cina dan tamil.
Hak-hak ini juga bersifat sementara apabila di dalam Perlembagaan, iaiya mesti
dimansuhkan 10 tahun selepas merdeka. Walaubagaimanapun, ianya sudah termaktub
di dalam Akta Pelajaran 1996 bilamana kewujudan sekolah-sekolah vernakular
dibenarkan untuk diteruskan.
Justeru, kecuali hak-haki istimewa Bumiputera, orang-orang
bukan Bumiputera dianggap sebagai sama saja dengan orang-orang Bumiputera dan
diberikan semua hak kewarganegaraan di bawah Bahagian II dalam Perlembagaan.
Pada tahun-tahun kebelakangan ini, sebilangan orang telah mencuba untuk
membekalkan warganegara-warganegara Melayu dengan lebih banyak hak politik
menurut falsafah ketuanan Melayu. Kebanyakan penyokong ketuanan Melayu
memperdebatkan bahawa hak-hak tambahan ini telah ditulis dalam undang-undang
dan hanya perlu dipertahankan daripada pembangkang-pembangkang.
Apabila mengambil alih jawatan presiden UMNO, Tunku Abdul
Rahman (kemudian menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama) menyatakan bahawa
"...apabila kami (orang-orang Melayu) menentang Malayan Union (yang
menjejaskan kedudukan hak-hak orang Melayu), kaum-kaum lain tidak mengambil
bahagian kerana mereka mengatakan ini hanya merupakan masalah Melayu, dan bukan
masalah mereka. Mereka juga menunjukkan bahawa kesetiaan mereka adalah kepada
negara-negara asal mereka dan oleh itu, menentang Laporan Barnes yang bertujuan
untuk menjadikan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Jika kami menyerahkan
orang-orang Melayu kepada orang-orang yang dikatakan orang Malaya ketika
kerakyatan mereka masih belum ditakrifkan, kami akan menghadapi banyak masalah
pada masa hadapan." Bagaimanapun, dia menambah bahawa "Bagai mereka
yang mencintai dan berasi bahawa mereka terhutang kesetiaan yang tidak berbelah
bagi, kami menyambut mereka sebagai orang Malaya. Mereka harus merupakan orang
Malaya yang benar, dan mereka akan mempunyai hak-hak dan hak-hak istimewa yang
sama dengan orang-orang Melayu."
Konsep ketertinggian perlembagaan
Perlembagaan persekutuan merupakan undang-undang tertinggi. Menjadi
punca kepada semua undang-undang. Semua undang-undang tidak boleh bercanggah
dengan perlembagaan. Undang-undang tersebut akan terbatal jika bercanggah
dengan perlembagaan. Membantu kerajaan persekutuan menjalankan kuasa
pemerintahan dengan licin. Mahkamah mempunyai kuasa membatalkan sesuatu
undang-undang yang digubal oleh parlimen. Walaupun YDPA merupan ketua negara,
baginda juga tertakluk kepada perlembagaan. Tidak ada sebarang institusi di
Malaysia yang boleh mengatasi kuasa dan kedudukan perlembagaan sebagai
undang-undang tertinggi. Perlembagaan merupakan suatu dokumen undang-undang
tertinggi yang menjadi rujukan pemerintahan negara. Ia juga dikenali sebagai
sumber segala perundangan atau sumber rujukan perundangan tertinggi negara.
Konsep ketertinggian perlembagaan ialah tiada undang-undang lain yang boleh
mengatasi perkara-perkara dalam perlembagaan. Hal ini dikenali sebagai
keluhuran perlembagaan. Mahkamah berkuasa membatalkan mana-mana undang-undang
yang digubal oleh mana-mana statut apabila bertentangan dengan perlembagaan.
Oleh itu, semua rang undang-undang hendaklah tertakluk kepada kehendak-kehendak
perlembagaan. Mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan
Persekutuan adalah terbatal dengan sendirinya, setakat mana yang bertentangan
itu.
Fungsi Perlembagaan
Menentukan corak pemerintahan negara dan hak-hak rakyat.
Menentukan garis panduan atau kuasa-kuasa kepada semua badan dalam sesebuah
kerajaan. Menjamin kestabilan politik dan keamanan negara. Menentukan bidang
kuasa dalam system kerajaan persekutuan (Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan
Kerajaan Tempatan).
Pindaan Perlembagaan
Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda, iaitu sama ada
dibuat penambahbaikan, atau dimansuhkan. Terdapat syarat untuk melakukan
pindaan iaitu:
- Pindaan dibuat di Parlimen dengan mendapat sokongan dua per tiga daripada jumlah ahli Parlimen.
- Pindaan dibuat dengan sokongan terlebih dahulu Majlis Raja-Raja Melayu atau Yang Dipertua Negeri Sabah dan Sarawak sebelum sokongan dua pertiga ahli Parlimen.